Showing posts with label Kefahaman. Show all posts
Showing posts with label Kefahaman. Show all posts

Monday, 7 January 2013

PENGENALAN PEMAHAMAN


Mari kita belajar tentang asas-asas pemahaman. Sila beri tumpuan kepada video yang ditayangkan :


CERPEN : Mimpi....

Baca cerpen di bawah kemudian jawab soalan yang berikutnya

Suara azan dari masjid yang tidak jauh dari rumahnya sayup-sayup kedengaran, namun Samad masih lagi berselimut kesejukan di atas katil usangnya. Namun, tabiat malas itu segera dibuangnya, lalu Samad bingkas dari pembaringannya dan terus ke bilik air untuk mengambil air sembahyang.

Selesai sembahyang, lazimnya Samad akan membelah kabus pagi untuk mencari rezeki daripada batang-batang pokok getah peninggalan orang tuanya. Tetapi disebabkan hujan begitu lebat pada malam tadi, Samad termangu-mangu di dalam biliknya memikirkan apa yang harus dibuatnya. Fikiran Samad melayang-layang. Ingatannya kembali kepada bekas tunangnya yang kini mungkin sedang nyenyak tidur di rumah yang besar dan serba indah di bandar.

Ingatan Samad kembali kepada peristiwa dua tahun lepas. Setelah ibu bapanya meninggal dunia, Samad telah meninggalkan kampungnya yang tidak pernah mencium bau pembangunan itu untuk pergi ke kota yang serba serbi memerlukan wang. Samad telah berjaya menjawat jawatan kerani di salah sebuah jabatan kerajaan di bandar.

Tidak lama kemudian, Samad bertunang dengan Rusnah, teman sepejabatnya. Malangnya, pengaruh-pengaruh kota yang serba mencabar itu telah menjerat Samad untuk mencampuri keseronokan yang tidak berfaedah. Samad terpalsa menggunakan wang pejabat setiap kali kehabisan wang. Akhirnya, Samad didakwa atas kesalahan pecah amanah. Samad bernasib baik kerana tidak dipenjarakan tetapi dia telah dibuang kerja. Rusnah pula telah memutuskan pertunangan mereka.

Cahaya matahari menyinari mukanya menerusi lubang dinding biliknya lalu menyedarkan Samad dari lamunannya. Samad membuka tingkap biliknya. Rupa-rupanya hari sudah siang. Ayam telah mula keluar dari reban untuk mencari rezeki. Alangkah senangnya menjadi ayam, hidupnya cuma “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” fikir Samad. Tetapi Samad cepat sedar kerana sebagai manusia dia mestilah mencari jalan hidup yang lebih baik daripada ayam-ayam itu.
Tanpa banyak bicara lagi, Samad turun ke bawah mengambil sebatang cangkul dan memulakan baktinya kepada bumi yang pasti memberikannya hasil jikalau diusahakan dengan gigih.



6. Di manakah Samad menetap selepas kematian ibu bapanya?
A. Di masjid
B. Di bandar
C. Di kampung
D. Di rumah Rusnah

7. Kenapakah Samad tidak turun menoreh pada pagi itu?
A. Dia merasa sangat malas
B. Dia merasa sangat mengantuk
C. Hujan lebat turun pada malamnya
D. Dia teringatkan bekas tunangnya

8. Apakah sebabnya Samad pulang semula ke kampung?
A. Dibuang kerja
B. Menziarahi ibu bapanya
C. Mendapat pekerjaan baru
D. Mengusahakan projek pelihara ayam

9. Semua yang berikut adalah benar berhubung dengan petikan di atas kecuali……
A. Samad kini sebatang kara
B. Samad seorang pemuda yang bersemangat gigih
C. Samad telah dibuang kerja serta dipenjarakan
D. Samad pernah bertunang tetapi telah terputus

10. Perkataan termangu-mangu dalam petikan di atas bermaksud………
A. bengap
B. bengang
C. bingung
D. bengkeng

Hari Guru

Baca petikan di bawah,kemudian jawab soalan yang berikutnya.

Setiap kali perayaan Hari Guru disambut pada 16 Mei, salah satu acara kemuncak yang menjadi simbol penghargaan kepada jasa pendidik ialah penganugerahan Tokoh Guru Kebangsan. Anugerah yang mula diperkenal pada 1972 itu juga lambang pengiktirafan kerajaan terhadap pengorbanan, kewibawaan serta sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan. Bagi melambangkan kemurnian jasa guru dan mencerminkan ia seteguh emas, pingat yang dianugerah direka khas dengan ciri menarik berwarna keemasan dan bernilai kira-kira RM2000.

Sehingga tahun 2000, seramai 102 pendidik sudah dianugerahkan pingat tersebut. Antara kriteria pemilihan ialah calon mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang di bilik darjah, sumbangan cemerlang kepada bidang keguruan, kegiatan aktif dalam kegiatan luar bilik darjah serta khidmat masyarakat.

Dari segi syarat pemilihan calon Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan pula, mereka hendaklah warganegara Malaysia, pernah berkhidmat sebagai guru, guru besar, pengetua, pensyarah atau pentadbir dalam perkhidmatan pendidikan, sudah dianugerahkan Tokoh Guru peringkat negeri, berumur 50 tahun ke atas sama ada masih berkhidmat, sudah bersara atau sudah meninggal dunia.
Setakat ini tahun paling ramai menerima anugerah ialah pada Hari Guru tahun 1977 iaitu seramai tujuh orang. Barisan penerima sulung anugerah itu ialah Zainun Munshi Sulaiman, Mohd Nor Ahmad, Ting Pin Sung, A V Perumal dan Tan Chong Bee. Pada tahun lalu Tokoh Guru Kebangsaan dianugerahkan kepada Tawi Yaakub, Cheng Yong Kong, Nik Faizah Mustaffa, Abd.Ghani Wahab dan Dr.Seenivasagam Muthukumar Poniah.

Pada tahun 2001 ini, lima lagi penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan bakal diumumkan di majlis perasmian Hari Guru di Dewan Seri Negeri Melaka yang bakal disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri. Seterusnya penganugerahan lain yang bakal disampaikan nanti ialah Anuerah Sekolah Harapan Negara, Anugerah Guru Inovatif serta Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas.

1. Pada tahun berapakah penerima paling ramai Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan?
A. 1972
B. 1977
C. 2000
D. 2001

2. Antara berikut, yang manakah antara penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan
pada tahun 2000?
A. YAB Perdana Menteri
B. Zainun Munshi Sulaiman
C. Mohd Nor Ahmad
D. Nik Faizah Mustaffa

3. Semua penyataan berikut adalah syarat-syarat yang diperlukan bagi seseorang
yang akan dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan kecuali......
A. Berusia lima puluh tahun ke bawah
B. Mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang
C. Pernah bertugas dalam perkhidmatan pendidikan
D. Pernah menerima anugerah tokoh guru peringkat negeri.

4. Perkataan penganugerahan dalam petikan di atas bermaksud........
A. pengurniaan
B. penyerahan
C. penerimaan
D. pengagihan

5. Apakah tujuan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan diadakan?
A. Sebagai menandakan acara kemuncak perayaan Hari Guru
B. Sebagai simbol penghargaan kepada jasa seseorang pendidik.
C. Untuk menyampaikan pingat yang berwarna keemasan kepada
guru-guru.
D. Untuk menandakan perasmian pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan