Monday, 7 January 2013

CERPEN : Mimpi....

Baca cerpen di bawah kemudian jawab soalan yang berikutnya

Suara azan dari masjid yang tidak jauh dari rumahnya sayup-sayup kedengaran, namun Samad masih lagi berselimut kesejukan di atas katil usangnya. Namun, tabiat malas itu segera dibuangnya, lalu Samad bingkas dari pembaringannya dan terus ke bilik air untuk mengambil air sembahyang.

Selesai sembahyang, lazimnya Samad akan membelah kabus pagi untuk mencari rezeki daripada batang-batang pokok getah peninggalan orang tuanya. Tetapi disebabkan hujan begitu lebat pada malam tadi, Samad termangu-mangu di dalam biliknya memikirkan apa yang harus dibuatnya. Fikiran Samad melayang-layang. Ingatannya kembali kepada bekas tunangnya yang kini mungkin sedang nyenyak tidur di rumah yang besar dan serba indah di bandar.

Ingatan Samad kembali kepada peristiwa dua tahun lepas. Setelah ibu bapanya meninggal dunia, Samad telah meninggalkan kampungnya yang tidak pernah mencium bau pembangunan itu untuk pergi ke kota yang serba serbi memerlukan wang. Samad telah berjaya menjawat jawatan kerani di salah sebuah jabatan kerajaan di bandar.

Tidak lama kemudian, Samad bertunang dengan Rusnah, teman sepejabatnya. Malangnya, pengaruh-pengaruh kota yang serba mencabar itu telah menjerat Samad untuk mencampuri keseronokan yang tidak berfaedah. Samad terpalsa menggunakan wang pejabat setiap kali kehabisan wang. Akhirnya, Samad didakwa atas kesalahan pecah amanah. Samad bernasib baik kerana tidak dipenjarakan tetapi dia telah dibuang kerja. Rusnah pula telah memutuskan pertunangan mereka.

Cahaya matahari menyinari mukanya menerusi lubang dinding biliknya lalu menyedarkan Samad dari lamunannya. Samad membuka tingkap biliknya. Rupa-rupanya hari sudah siang. Ayam telah mula keluar dari reban untuk mencari rezeki. Alangkah senangnya menjadi ayam, hidupnya cuma “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” fikir Samad. Tetapi Samad cepat sedar kerana sebagai manusia dia mestilah mencari jalan hidup yang lebih baik daripada ayam-ayam itu.
Tanpa banyak bicara lagi, Samad turun ke bawah mengambil sebatang cangkul dan memulakan baktinya kepada bumi yang pasti memberikannya hasil jikalau diusahakan dengan gigih.



6. Di manakah Samad menetap selepas kematian ibu bapanya?
A. Di masjid
B. Di bandar
C. Di kampung
D. Di rumah Rusnah

7. Kenapakah Samad tidak turun menoreh pada pagi itu?
A. Dia merasa sangat malas
B. Dia merasa sangat mengantuk
C. Hujan lebat turun pada malamnya
D. Dia teringatkan bekas tunangnya

8. Apakah sebabnya Samad pulang semula ke kampung?
A. Dibuang kerja
B. Menziarahi ibu bapanya
C. Mendapat pekerjaan baru
D. Mengusahakan projek pelihara ayam

9. Semua yang berikut adalah benar berhubung dengan petikan di atas kecuali……
A. Samad kini sebatang kara
B. Samad seorang pemuda yang bersemangat gigih
C. Samad telah dibuang kerja serta dipenjarakan
D. Samad pernah bertunang tetapi telah terputus

10. Perkataan termangu-mangu dalam petikan di atas bermaksud………
A. bengap
B. bengang
C. bingung
D. bengkeng

1 comments:

Anonymous said...

cikgu, ini jawapan saya.
6.A,7.B,8.B,9.D,10.C

Post a Comment